Mengapa Bahasa Melayu Dijadikan Bahasa
Kebangsaan
Pada zaman dahulu lagi sejarah telah
membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau
bahasa komunikasi utama sejak zaman dahulu lagi iaitu pada zaman kesultanan
Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan telah digunakan secara
meluas dalam bidang perdagangan mahupun dalam bidang hubungan
diplomatik. Dalam Kitab Sejarah Melayu menyebutkan bagaimana para pedagang
bertungkus lumus mempelajari Bahasa Melayu dan menguasainya bagi memudahkan
mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama
menggunakan bahasa itu. Dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat
rasmi dan dokumen perjanjian turut menggunakan Bahasa Melayu bertulis jawi. Ini
membuktikan bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak
British. Kalau mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru Bahasa Melayu
yang akan mengajar mereka.
Begitu juga dokumen-dokumen lain seperti
undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu dengan
tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan kepada kita betapa Bahasa
Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan diguna sehingga ke peringkat
antarabangsa.
Memandangkan Bahasa Melayu telah diguna
sekian lama sebagai bahasa rasmi dan basahan, sebagai bahasa komunikasi dan
persuratan maka Bahasa Melayu telah dipersetujui dan disepakati bersama oleh
pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar menjadi bahasa kebangsaan bagi
persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957.
Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu
dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara
sepertimana yang termuat dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa bagi
persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka. Maka sejak itu Bahasa
Melayu berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di
sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di
mahkamah. Jelas sekali Bahasa Melayu telah diiktiraf oleh semua kaum
sebagai bahasa utama dan dapat digunakan bersama untuk mencapai matlamat
perpaduan.
Indahnya Bahasa Melayu, begitu halus
sehingga menusuk kalbu. Daripada banyak faktor, bahasa muncul sebagai faktor
yang dominan dan daripada begitu banyak bahasa, Bahasa Melayu yang terpilih
sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana perpaduan masyarakat
majmuk di negara Malaysia
Melihat kepada pengiktirafan yang diberi
kepada Bahasa Melayu tentunya Bahasa Melayu memiliki keistimewaan tersendiri
sehingga berupaya mengangkat bahasa ini sebagaiTeras Perpaduan Bangsa Malaysia
Maka dalam tulisan ini saya ingin
membuktikan kepada pembaca mengapa dan bagaimana Bahasa Melayu mampu menjadi
teras atau tunjang kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di
negara ini.Di akhirnya pula saya akan menuliskan beberapa ancaman ke
atas Bahasa Melayu dalam kedudukannya untuk bertahan sebagai bahasa kebangsaan
yang menjadi alat perpaduan.
Secara konseptual Bahasa
Melayu Teras Perpaduan Bangsa Malaysia bolehlah didefinisikan
sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan
berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan pelbagai kaum di negara
ini.
Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras
perpaduan bangsa Malaysia ialah Bahasa Melayu yang digunakan secara bersama dan
meluas. Bahasa melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, namun
bahasa rasmi dan tidak rasmi.
Bahasa ini bukan sahaja dijadikan bahasa
perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau
ke peringkat antarabangsa. Buktinya DS Mohd Najib telah bertutur dalam Bahasa
Melayu sepenuhnya di sebuah Universiti di China semasa lawatan beliau ke sana
baru-baru ini.
Ini bererti Bahasa Melayu yang
dimaksudkan ialah bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur bahasa
Melayu baku dan mempunyai sistem yang sama untuk semua.
Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk
orang Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa
Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa
Melayu yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan
di sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi
yang lain.
Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat
perpaduan utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap
terbuka kepada bahasa lain. Kita sedar sesuatu bahasa yang terlalu rigid,
terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan
semasa.
Dunia semakin berkembang, masyakaratnya
semakin maju dan berpengetahuan, maka begitulah juga halnya dengan bahasa
Melayu Sejak dahulu Bahasa Melayu dilihat mempunyai tahap keterbukaan dan
toleransi yang begitu tinggi,kepada kemasukan isitilah-istilah baru dan kata
asing.
Dinamika bahasa ini amat diperlukan
untuk memastikan Bahasa Melayu tidak terkubur seperti yang berlaku kepada
bahasa Sanskerta.
Sayugia diingat dalam keghairahan kita
hendak mempertahankan Bahasa Melayu jangan sampai bahasa ini menerima nasib
yang sama seperti dinossours yang akhirnya pupus kerana gagal untuk
menyesuaikan dirinya dengan perubahan semasa dan persekitaran.
Maka menyedari hakikat itu DBP telah
memainkan peranan yang begitu aktif untuk membentuk dan menyelaraskan
istilah-istilah baru dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan
teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, komputer dan internet.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras
perpaduan bangsa Malaysia diperkukuhkan apabila kehadirannya tidak pernah
disangsikan oleh kaum-kaum lain.
Sebabnya Bahasa Melayu tidak dianggap
sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan kehadirannya tidak akan menyebabkan
bahasa ibunda kaum masing-masing akan menerima nasib malang.
Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga kini ialah kerana jaminan
yang diberikan dalam perlembagaan Malaysia yang telah menyebutkan bahawa
bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan.
Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu
akan terus dihormati dan tidak akan disaingi oleh bahasa-bahasa lain.
Gerakan Cintailah Bahasa
Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 membuktikan betapa
seriusnya pihak kerajaan dalam mengangkat martabat bahasa ini sebagai bahasa
komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu banyak kegiatan kebahasaan turut
melibatkan pelbagai kaum.
Buktinya yang jelas ialah dengan adanya
pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis (PBSUB) bagi SRJKC dan SRJKT dan
pidato bahasa Melayu antarabangsa. Ini membuktikan bahasa Melayu menjadi bahasa
yang boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja.
Pemilihan Bahasa melayu sebagai bahasa
kebangsan dan bahasa perpaduanm melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti
bagi masyarakat majmuk sehingga mampu menjadi model perpaduan dunia melalui
penggunaan satu bahasa
Ancaman
Perubahan dunia semakin pantas dan
kemajuan dunia semakin cepat. Persekitaran lokal tiba-tiba sahaja bertukar
kepada glokal dan akhirnya menuju global. Bumi yang dulunya terpecah kepada
begitu banyak kampung yang tak berhubung, kini menjadi sebuah kampung besar
tanpa sempadan. Bahasa Melayu turut menerima cabaran apabila golongan remaja
hari ini lebih berminat menggunakan istilah dan gaya bahasa sendiri yang
dikatakan lebih pantas dan ringkas. Ini terbukti apabila munculnya teknologi
komunikasi terkini seperti sistem pesanan ringkas, mms, mel elektronik dan
chating. Kata-kata yang panjang telah diringkaskan dan istilah-istilah
baru tercipta. Surat yang dianggap ketinggalan dan lambat telah digantikan
dengan mel elketronik, menelefon telah digantikan dengan SMS dan MMS. Bagi
saya ini satu perkembangan yang menkjubkan sekaligus menunjukan bahasa Melayu
sentiasa berupaya menyesuaikan dirinya dengan keperluan semasa. Minat anak muda
daripada pelbagai bangsa menggunakan bahasa ini menjadikan bahasa Melayu akan
terus berkembang sebagai alat perpaduan utama. Cuma terpulanglah kepada
Kementerian pelajaran dan DBP untuk menyelaraskan semua ini.
Akhirnya marilah kita menyahut cabaran
1Malaysia cetusan ide YAB DS Mohd Najib Tun Abdul Razak. Gagasan ini bukan
sahaja mengajak kita berkongsi sebuah negara, iaitu Malaysia tetapi juga
berkongsi satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu yang telah terbukti mampu menjadi
teras Perpaduan Bangsa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan